Friday, February 4, 2011

Facebook Ditutup - Misteri Atau Taktik?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...Sabtu lalu dunia digemparkan mellaui satu laporan melalui weeklyworldnews.com bahawa CEO Facebook Mark Zuckerberg telah membuat pengumuman melalui satu sidang akhbar di pejabatnya di Palo Alto California. Kemudian keluar pula berita rentetan daripada pengumuman itu, Pangarah Komunikasi Korporat Facebook Larry Yu bahawa perkara ini hanyalah khabar angin sahaja.alt

Mungkin ramai yang pening bagaimana ini boleh berlaku. Bagaimana pula boleh ada satu sidang akhbar dan disiarkan oleh media internet weeklyworldnews.com tetapi kemudiannya dikatakan itu hanya khabar angin. Mengapa yang memberi penafian adalah Pengarah Komunikasi Korporat sahaja tetapi tidak Mark Zuckerberg sendiri?

Apakah Kemungkinan Disebalik Isu Ini?

Bermacam persoalan dan pendapat dikeluarkan daripada isu sensasi ini terutama kesahihan dan logik akal. Mengikut laporan weeklyworldnews.com bahawa pengumuman itu dibuat oleh Mark Zuckerberg di pejabatnya. Bagaimana pula satu isu itu dikatakan khabar angin apabila ia diperoleh dari sidang akhbar? Adakah mungkin benar Mark sudah tertekan dengan beban kerja di facebook dan membuat keputusan atas dasar peribadi? Adakah penafian Larry Yu pula adalah bersifat komersil untuk mempastikan isu ini reda sementara waktu bagi menenangkan Mark Zuckerberg yang sedang tertekan?

Atau adakah ini hanya satu lagi episod taktik pemasaran dan kajian penerimaan facebook oleh pengguna secara terancang? Ia amat logik kerana pengumuman dibuat secara rasmi dan kemudian penafian juga dibuat secara rasmi. Bukankah itu kelihatan seperti sesuatu yang dirancang?

Apa logik dilakukan taktik sebegini? Apa faedahnya kepada facebook? Sedarkah anda, dalam proses penafian, Larry Yu secara tidak langsung telah mengumumkan bahawa facebook akan memperoleh pembiayaan daripada Goldman Sach dan Digitial Skies Technology dengan nilaian 50 bilion dolar? Dia kemudian langsung tidak mahu memberi komen kritis tentang laman yang mengeluarkan berita itu malah menjadikannya seolah satu bahan jenaka. Bukankah isu ini hakikatnya boleh mengganggu gugat perjanjian facebook dan 2 buah syarikat besar tersebut? Mengapa ia hanya menjadi komen jenaka kecil tentang pengeluar khabar angin ini? Bukankah kebiasaan syarikat besar akan menyaman kenyataan tidak benar yang menggugat operasi perniagaan mereka?

Taktik Pengiklanan dan Penyampaian Moden

Adakah ini satu kaedah facebook untuk mengkaji dan melihat penerimaan pengguna facebook dunia semasa terhadapnya? Ini juga adalah kemungkinan yang logik kerana facebook mendapat pelbagai kritikan dari segi masalah teknikal. Dari mula ia mencipta nama didalam dunia siber, facebook tidak pernah sunyi daripada kritikan mengenai permasalahan teknikal dan komen pelanggan yang begitu ramai tidak puas hati dengan perkhidmatannya.

Hakikatnya, andai perkhidmatannya teruk sekalipun, ia tidak memberi impak yang begitu besar. Kritikan dan komen terhadap perkhidmatan adalah perkara yang ada setiap hari kepada gergasi internet dunia seperti Google dan Yahoo. Oleh yang demikian, ia bukannya isu besar. Pengguna facebook bukannya semakin mengecil tetapi semakin besar. Malah facebook sudah menjadi satu kemestian teknikal bagi perniagaan online dan offline untuk mempunyai keterlibatan bersama facebook. Dan yang lebih penting, ia adalah percuma. Kritikan atas perkhidmatan percuma facebook tidak memberi kesan yang tinggi kepada operasi komersilnya.

Ini bagi saya adalah satu teknik pengiklanan moden. Facebook bukannya laman web yang menduduki tangga ke 100 tetapi tangga ke 2 dunia selepas google. Mereka tidak perlu takut sekiranya isu ini memberi impak apabila pengguna bertepuk tangan mendengar berita penutupannya kerana berjuta lagi pengguna menangis atas berita ini. Ia hanya kaedah mempromosi apa yang sedang berlaku di facebook dengan penuh bergaya.

Facebook boleh memberitahu kepada dunia yang mengkritik, 'apa yang anda boleh lakukan sekiranya anda tidak menyukai kami?' bahawa mereka hanya sekadar boleh mengkritik dan facebook akan terus berkembang dan terus mendapat pembiayaan berbilion dolar pada masa mendatang. Ia juga satu kaedah memberitahu dunia bahawa facebook tidak mungkin akan musnah dengan mudah dengan kekuatan yang ada dan kekuatan yang bakal tiba.

Hati tercuit dengan komen Larry Yu apabila dalam penafiannya dia membuat sebuah pertanyaan bahwa dia hairan bagaimana berita ini boleh tersebar begitu cepat. Bukankah Facebook itu pakar pemasaran viral dunia? Kadangkala saya rasakan ia seperti masuk bakul angkat sendiri tetapi saya tidak nafikan ia satu taktik yang sungguh bergaya.

Manusia dan Facebook

Kita lupakan apa yang berlaku tentang facebook dan strateginya. Berita ini adalah sememangnya satu kaedah sahaja dan bukannya berita. Oleh itu usahlah memeningkan kepala adakah akaun facebook anda akan ditutup atau tidak. Andai kata Mark Zuckerberg mahu berhenti dan berehat, facebook tidak akan berhenti dan berehat. Sama ada ia berita benar atau taktik, kita hanya membuang masa memikirkan hal tersebut. Ada perkara lain yang lebih bermanfat untuk kita fikirkan.

Ingin saya bertanya adakah ketika anda membaca berita sensasi ini, adakah anda mengambil perhatian tentang komen-komen dunia kepada facebook? Dapatkah anda lihat bahawa facebook bukanlah satu perkara yang sentiasa disukai. Tidak kurang juga ia adalah platform yang tidak disukai tetapi terpaksa digunakan.

Tidak hairan begitu ramai ulama Islam sebelum ini memberi komen tentang bahaya facebook kepada masyarakat dan kehidupan manusia itu sendiri. Dari komen dunia, kita boleh melihat wujudnya manusia yang mana dunianya adalah didalam bilik dan didepan komputer bersama facebook. Malah ada yang mengatakan mereka akan mati sekiranya facebook ditutup. Sehingga begitu sekali pengaruh facebook ke atas kehidupan manusia.

Hari ini facebook boleh menjadikan seorang manusia kaya dalam sehari, seorang ahli politik musnah dalam sehari, seorang yang tiada apa menjadi selebriti dalam sehari, seorang bodoh kelihatan pandai dalam sehari dan pelbagai lagi. Isi facebook bergerak begitu pantas sedangkan otak manusia memerlukan masa untuk menilai. Belum sempat sebuah isu dinilai, maka satu isu baru sudah terpampang di facebook. Bagi saya, inilah dia satu-satunya platform yang benar-benar berjaya menghipnotis penggunanya.

Manusia hidup mengikut apa yang facebook corakkan. Mereka tidak sempat mencorakkan kehidupan mereka supaya dapat dilihat dalam keadaan lega di dalam facebook. Mereka harus bersaing secara tidak sedar dalam mempastikan mereka diberi perhatian kerana sistem facebook itu sendiri yang pantas memaksa mereka berbuat demikian.

Kerana itu, tidak hairan begitu banyak manusia memberitahu melalui komen mereka bahawa mereka amat suka sekiranya facebook ditutup kerana seorang ibu dapat melihat anaknya tidak lagi bermasyarakat, tidak lagi berselera untuk makan bersama keluarga, seorang rakan hilang rakan dan kepelbagaian lagi cerita. Apa yang anda perlu, bukalah blog dan forum yang bersembang tentang isu ini. Begitu banyak aduan tentang kerosakan institusi keluarga dan masyarakat dari bahana facebook ini.

Jangan Jadikan Facebook Itu Kehidupan

Facebook adalah alat. Jadi ia harus digunakan sebagai alat. Apa akan jadi jika alat yang kita gunakan akhrinya memperalatkan kita? Pernahkah kita terfikir mengapa Islam menekankan konsep muamalat dalam kehidupan? Adakah dengan facebook konsep muamalat itu menjadi normal?

Facebook adalah platform yang paling mudah di dunia untuk menghina agama, merosakkan kehidupan orang lain, meruntuhkan insititusi keluarga, menyebarkan penipuan, menyebarkan kerosakan akidah dan sebagainya. Malah semua itu mampu berlaku dengan berkesan. Apa yang lebih menyedihkan, pelaku perkara negatif ini mampu melakukannya dengan cara yang berani dan selamat.

Adakah saya terlalu jumud dengan memberi persepsi bahawa Islam memandang negatif terhadap pembaharuan dan kemajuan? Ini bukanlah persepsi lagi. Ini adalah realiti. Hari ini anda tidak sedar satu kesilapan kecil anda, telahpun dijaja keseluruh dunia dan berkembang daripada satu perkara kecil yang digubah menjadi seperti satu jenayah atau dosa besar. Sedar-sedar anda dibaling sebiji telur oleh orang yang tidak dikenali kerana mereka membenci anda. Mungkin kerana anda tidak tahu orang memanipulasi gambar anda di facebook ketika sedang merotan anak di halaman rumah.

Mungkin ia seperti satu fantasi mengarut dan mungkin ada yang mengatakan ia takkan terjadi. Tapi saya ingin bertanya, adakah ada sesiapa yang boleh pastikan ia takkan terjadi? Malah begitu banyak 'candid' telah menjatuhkan imej seseorang tanpa disedari oleh individu diseluruh dunia. Seorang alim mungkin sedang bersalam dengan adiknya, tetapi gambarnya diambil dan dikomen sebagai 'orang alim tahi kucing' dengan komen menggambarkan dia menyentuh bukan muhrim. Mungkin akan ada penjelasan tetapi adakah penjelasan itu mampu menjelaskan fitnah yang dibuat dengan berkesan?

Alangkah mudahnya fitnah kini tersebar di akhirnya. Amat mudah juga minda manusia dipandu oleh sistem manusia sendiri. Fikirkanlah sendiri betapa pentingnya kita kembali kepada agama. Orang yang memahami agama akan memahami konsep nilai dan mungkin dapat membentengkan diri dengan sistem berbahaya ini. Bagaimanakah mereka yang tidak bersedia. Semoga Allah memberi hidayah dan kesedaran kepada umat Islam khususnya untuk tidak terjerumus dalam kerosakan yang disistemkan oleh facebook. Wallahualam. Tajdid.

- Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment